
Satu lagi cawangan kelas tuisyen percuma ahli parlimen Jeli akan dibuka di SK Bukit Jering.
JELI 20 JAN 2010 – Usaha parlimen Jeli menerusi Biro Pendidikan UMNO bahagiannya memajukan bidang pendidikan terus digerakkan apabila satu lagi cawangan kelas tuisyen secara percuma akan dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah.
Menurut, Pengerusi Biro Pendidikannya, Hanafi Mat Yunus, kelas secara percuma yang dibuka sejak 14 tahun di kediaman ahli parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed itu akan dikembangkan dan cawangan itu dijangka akan beroperasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jering.
Katanya, langkah mewujudkan satu lagi cawangan untuk kelas berkenaan didorongi faktor jarak, kos dan masa yang menjadi penghalang kepada pelajar-pelajar untuk datang mengikuti tuisyen di Darul Falah.
“Perkara ini juga adalah kemahuan ahli parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed sendiri yang mahukan satu lagi cawangan dibuka demi untuk anak-anak Jeli.
"Perkara ini sekaligus membuka peluang kepada murid dari lima sekolah rendah di kawasan terbabit mengikuti kelas tuisyen percuma yang akan berjalan dalam tempoh terdekat ini pada Jumaat dan Sabtu setiap minggu," katanya.
Kata Hanafi, seorang guru penyelaras dengan dibantu beberapa guru sudah dilantik bagi mengurus perjalanan cawangan kelas tuisyen percuma di DUN Kuala Balah itu.
“Pembukaan cawangan berkenaan adalah diharapkan dapat memperbaiki pencapaian murid di setiap sekolah terbabit dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan membantu memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, matematik dan sains sebagai persediaan murid menduduki UPSR dan program motivasi selain mendedahkan murid mengenai perkembangan semasa pendidikan negara," katanya.