
LUBOK BONGOR 03 FEB 2010 – Persatuan Belia Lubok Bongor dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Jeli, semalam berganding bahu mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan rekreasi Lata Renyuk.
Program yang dimulakan sejak awal pagi itu dijayakan hampir 40 ahli persatuan dan anggota JPAM Jeli.
Setiusaha Persatuan, Che Shamsul Che Mahmood berkata, program kerjasama yang dijayakan itu merupakan usaha bagi membina hubungan erat persatuan dengan JPAM.
Selain itu, program yang dirangka ini pada masa yang sama mendidik ahli persatuan dan anggota JPAM bersikap positif menghargai alam sekitar.
Katanya, persatuannya dengan JPAM akan terus mengadakan kerjasama supaya ahli dan anggota JPAM bergerak menjalankan aktiviti sukarelawan.