JERLUN, 5 Feb. – Program Juara Rakyat yang menjadi tema dalam gerakan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mendekati rakyat menjelajah ke utara tanah air apabila pelancarannya di peringkat negeri Kedah akan diadakan.
Program selama dua hari yang bermula hari ini berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang, di sini dengan majlis perasmiannya akan disempurnakan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Februari.
Program yang berteraskan ‘kebajikan’ sempena bulan Februari ini akan dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti termasuklah ekspo penerangan bersama rakyat, program gotong royong bersama pemimpin, memberikan fokus dan bantuan kepada golongan kurang upaya, anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan.
Sesungguhnya program ini merujuk kepada hasrat untuk menjuarai kehidupan rakyat, menjuarai pembelaan rakyat, menjadi johan dalam membangun rakyat dan sentiasa berada di barisan hadapan untuk rakyat.
Lantaran itu, program tersebut adalah hasil daripada kesinambungan Juara Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 Januari lepas di Hulu Selangor sebagai tanda bahawa para pemimpin menerima isyarat daripada rakyat untuk terus akrab dan mendampingi masyarakat dalam segala aspek.
Apa yang pasti juga, hasrat ingin menjadi juara adalah keutamaan sebagaimana gagasannya dalam persaingan memenangi hati rakyat malah jika berlaku malapetaka maka yang pertama akan datang membantu adalah kalangan pemimpin dari UMNO/BN sendiri.
Selaras dengan itu, semua masyarakat dan penduduk setempat di kawasan Utara dan kawasan berhampiran agar bersama-sama dalam menjayakan program Juara Rakyat tersebut kerana banyak aktiviti dan manfaat boleh diperolehi.