JERLUN, 5 Jan. – UMNO akan sentiasa memantapkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu negara yang kuat dan bersatu berteraskan Perlembagaan, kata Presiden UMNO, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.
UMNO, tegas Perdana Menteri, sebagai komponen utama Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kerjasama dalam menjuarai kehidupan rakyat.
“UMNO dan BN mesti berazam untuk terus menjadi juara, bersifat sebagai juara dan berani sebagai juara dalam memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Kedah yang diadakan pada 5 dan 6 Februari di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang, Jerlun di sini. Program tersebut akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Najib berkata, UMNO dan BN harus bersedia untuk bergerak secara bersepadu, menjangkau setiap aspek kehidupan rakyat sehingga ke akar umbi, dari barat ke timur, dari utara ke selatan.
“Saya yakin, dengan transformasi berteraskan gagasan 1Malaysia dan dengan tekad menjuarai perjuangan rakyat serta menjuarai pembelaan rakyat, InsyaAllah kita akan berjaya,” katanya.
Menurut Najib, menjadi juara dalam persaingan memenangi hati rakyat, minda dan sokongan rakyat merupakan antara cabaran hebat dalam dunia tanpa sempadan.
Beliau berkata, menjadi juara dalam menyelesaikan masalah rakyat, perlu dilaksanakan dengan penuh amanah, bijaksana, cekap, dedikasi dan efektif.
Semua pendekatan ini, tegas beliau, adalah untuk memastikan rakyat merasai hampirnya UMNO dan BN dalam merungkai kekusutan, kesusahan dan apa juga permasalahan mereka dan bagi memastikan Program Juara Rakyat ini mencapai kejayaan.
Kata Najib, UMNO telah sekian lama menjuarai perjuangan rakyat sejak sebelum kemerdekaan hingga ke saat ini dan amatlah mustahak untuk semua pihak bergabung fikiran, usaha dan tenega memastikan keunggulan ini berterusan.
Beliau memberitahu, yang paling penting adalah rakyat mendapat kebaikan yang sepenuhnya, sejajar dengan hasrat kerajaan, iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Ini juga, kata Perdana Menteri, bertepatan dengan perjuangan UMNO yang sentiasa mendukung cita-cita mengekalkan maruah dan martabat Agama, Bangsa,Tanahair.
Beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana atas izin dan kurniaNya Program Juara Rakyat dapat dilancarkan dan diisi dengan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dengan teliti. Ia akan dilaksanakan pada setiap bulan di setiap bahagian di seluruh negara.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam perutusan yang sama berkata, menjadi juara kepada rakyat bermakna ahli-ahli dan pimpinan UMNO menunjukkan contoh terbaik untuk menyelesaikan permasalahan rakayat, sesuai dengan peranan UMNO sebagai parti tunjang BN.
“Semangat permuafakatan dan toleransi sesama pelbagai kaum, hendaklah sentiasa tersemat sebagai prinsip hidup setiap ahli UMNO dan parti-parti komponen BN kerana inilah kunci kepada kemajuan dan kemakmuran negara,” tegas beliau.
Muhyiddin berkata, Juara Rakyat bukan bermakna menjadi juara kepada kelompok tertentu sahaja dalam masyarakat tetapi kepada semua.
Setiap ahli UMNO, katanya, perlu menjadi juara bukan saja ketika berlaku isu atau bencana tetapi juga sentiasa mengambil tahu kebajikan rakyat berbilang kaum sepanjang masa.
“UMNO akan bertambah kukuh dan perkasa jika setiap ahli menyemai semangat setia berkorban demi Agama, Bangsa, Tanahair. Tidak ada pengorbanan atau perjuangan yang lebih mulia daripada membantu orang lain keluar daripada kesusahan tanpa mengiran balasan,” kata beliau.
Beliau mendoakan semoga program Juara Rakyat akan terus dihayati dan dilaksanakan di setiap bahagian oleh ahli dan pimpinan UMNO dan BN yang melibatkan semua rakyat di kawasan masing-masing.