
Mohd Adhan Kechik
BUKIT BUNGA 08 FEB 2010 - Pengakuan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat terhadap isu kerugian kira-kira RM50 juta dalam projek pembinaan Bazar Tok Guru, menunjukkan terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas kelemahan pentadbiran kerajaan Pas di negeri itu.
Sehubungan itu, Mursyidul Am Pas harus menyedari dan menerima hakikat kemungkinan wujud pelbagai perancangan pihak tertentu yang berkepentingan dalam pentadbiran kerajaan pimpinannya itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Mohd Adhan Kechik, berkata lazimnya seseorang sentiasa mencari peluang dan kesempatan daripada kelemahan orang lain termasuk membabitkan soal pemerintahan negeri.
Katanya, kerajaan Pas Kelantan tidak lagi boleh berselindung daripada kelemahannya berikutan timbul polemik demi polemik dalam parti dan kerajaan sejak kebelakangan ini.
"Bagaimana boleh berlaku kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian besar dalam projek pembinaan Bazar Tok Guru, jika tidak disebabkan kerana kelemahan pentadbiran Nik Aziz.
"Jadi perkara itu perlu dijalankan siasatan segera bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang perancangan pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan di atas kelemahan kerajaan," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz, mengenai kesilapan yang mengakibatkan kerajaan negeri menanggung kerugian dianggarkan RM50 juta dalam projek pembinaan Bazar Tok Guru.
Pengakuan itu mencetuskan polemik baru dalam politik dan kerajaan Pas Kelantan selepas isu dalaman membabitkan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dipimpin menantunya, Abdul Ariffahim Ab Rahman.